Bahagian 8 : Aku Jatuh Cinta
Wednesday 16 March 2016 | 01:06 | 0 Kura-kura
Tarikh : 2 Februari 2016
Masa :
7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Arts Science and Technology University of Lebanon,
Ancienne Place Deir Al Qamar,Rumah Pelarian Syria, Beirut, Chamsine
Pagi ini seperti biasa selepas selesai
solat dan al-Mathurat, kami akan sarapan. Kali ini agak berbeza pabila untuk
pertama kalinya kami memasak magi pada waktu pagi untuk sarapan. Selepas
sarapan semua berkumpul untuk bersiap ke AUL iaitu Arts Science and Technology
University of Lebanon. Setibanya di sana, kami terus menuju ke bilik mesyuarat
utama universiti tersebut. Kami dihidang dengan sedikit jamuan ringan dan
agenda diteruskan dengan perbincangan dua hala mengenai university masing
masing. Menurut dekan university itu, 50% daripada yuran pengajian akan
ditanggung oleh pengarah university. Ini kerana university AUL merupakan university
yang tidak mementingkan keuntungan namun pendidikan kepada pelajar-pelajarnya. Terdapat
tiga fakulti keseluruhannya iaitu fakulti Pentadbiran Perniagaan, fakulti Sains
dan Seni Halus serta fakulti Seni dan Kemanusiaan. AUL juga menerima pelajar
antarabangsa dan kebanyakannya pelajar China. Perbincangan diteruskan , majalah yang
bertajuk al-I’jaz diedarkan kepada setiap dari kami beserta pamphlet AUL. Ku
buka sehelai demi sehelai, setiap perkataan semuanya dalam bahasa arab.
Sementara itu, aku memerhati betapa khusyuknya setiap orang mendengarkan ucapan
dari seorang Sheikh , tidak dapat ku pastikan namanya. Tetapi bila pergi
mendekat, percakapan beliau begitu berhikmah, setiap tutur katanya mempunyai
kebaikan dan ku mulai terpegun mendengarkannya. Selesai perbincangan di bilik
mesyuarat utama, kami dibawa bilik ke bilik termasuk bilik komputer, bilik
kejuruteraan, bilik robotik, bilik elektronik, studio dan macam macam lagi. Masuk
ke bilik robotik terlihat robot yang dicipta oleh pelajar dan akan dipertandingkan
dalam VEX pertandingan robotik antarabangsa yang sering diadakan. Manakala di
dalam bilik elektronik terdapat kalkulator yang dicipta sendiri dengan
menggunakan papan litar dan bahan elektronik yang lain. Secara keseluruhannya,
bilik bilik yang dilawati tidaklah begitu besar tetapi produk yang dihasilkan
pelajar mereka begitu menakjubkan dan perlu dicontohi. Seterusnya,
kami berjalan hingga ternampak ada satu kaunter yang bertulis ‘Cashier’
dan rupanya ia adalah kaunter bendahari university yang terletak di tingkat
bawah dan terbuka bagi memudahkan urusan pelajar. Seetelah selesai penjelajahan
kami di universiti itu, sesi penyampaian cenderamata bagi dua dua pihak dan
sesi fotografi diadakan sebagai kenang kenangan. Manakala beg dan coklat diedarkan
kepada seorang daripada kami . Pengalaman menjelajah ke universiti di Lubnan
ini banyak memberi impak dari segi pentadbiran dan akademik yang boleh
dijadikan teladan bagi penstrukturan masa hadapan.
Setelah
lama berada di AUL , kami teruskan perjalanan ke kawasan perkampungan Druze dan
berhenti solat di Ancienne Place Deir Al-Qamar. Dengan berwudhu , kaki
melangkah ke masjid Fakhreddine iaitu masjid yang tertua di Gunung Lubnan. Masjid yang dibina sejak
tahun 1493 ini masih kekal dalam bentuk asalnya sehingga kini. Di tengah Deir
Al Qamar pula dikenali sebagai Dany Chamoun Square. Tempat bersejarah itu
adalah untuk memperingati Assyahid Dany Chamoun iaitu seorang ahli politik
Lubnan yang terkenal dimana terdapat tugu dan plak nama yang bertatahkan nama
Assyahid Dany Chamoun. Ditengahnya pula
terdapat pancut yang diberi nama Circular Drinking Mountain yang dibina pada
kurun ke 19 pada zaman Moutassarifat. Setelah bergambar , kami membeli sedikit
buah dan kekacang yang segar di pinggir jalan seperti kismis, aprikot, tin,
walnut dan lain lain lagi. Pilih sahaja yang mana mahu akan ditimbang dan
diberi harga yang berpatutan. Setelah itu, kami dibawa bersiar siar melihat gunung
ganang di perkampungan druze. Dapat dilihat sepanjang jalan, istana istana lama
yang terletak dipergunungan dan ada juga ternampak bekas tempat tinggal
pelarian Palestin yang mungkin kini sudah bertebaran. Perjalanan ini membuka
mata untuk aku lebih mempelajari lebih mendalam mengenai sejarah, bukan sahaja
sejarah lain, malahan sejarah di negaraku sendiri. Bak kata pepatah “Sesiapa
yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya”.
Setelah itu, kami terus menuju ke
destinasi seterusnya untuk agenda yang lebih besar iaitu rumah rumah pelarian
Syria yang terdapat di Ketermaya. Tempat tinggal pelarian Syria kali ini lebih
berbeza berbanding mukhayyam yang kami sudah pergi pada hari sebelumnya. Mereka
tinggal didalam rumah dan hidup seperti penduduk Lubnan yang lain, perlu
bekerja dan membayar sewa rumah. Bila aku disana, mereka seakan gembira dan
terlalu teruja untuk menunjukkan kepada kami tempat tinggal mereka. Selain itu,
terdapat keluarga pelarian Syria yang tinggal di kabin kecil, kabin sederhana
besar dan rumah yang masing masing perlu membayar sewa rumah sebanyak 50, 150
dan 200 USD kepada kerajaan Lubnan. Bila ditanya ada kanak kanak Syria berumur
10 tahun yang terpaksa bekerja menjual sayur untuk menanggung keluarga. Kaki
berjalan menuju ke sebuah rumah yang beratapkan jalanraya, seolah olah kami
masuk ke dalam rumah bawah tanah. Perasaan sebak mulai menguasai pabila melihat
keadaan keluarga ini. Keluarga Syria yang terpaksa tinggal di rumah ini untuk
meneruskan hidup dan menjual gula gula kapas untuk menyara hidup. Bagi
meringankan sedikit beban keluarga ini, Prof membeli semua gula gula kapas yang
dihasilkannya. Lelaki Syria ini juga turut menunjukkan kepada kami cara
bagaimana menghasilkan gula gula kapas menggunakan mesin yang telah dikhaskan.
Lori sumbangan sudah tiba dan kini
tiba masanya untuk penyampaian sumbangan pek makanan kepada setiap keluarga
Syria di sini. Mereka tersenyum ria. Seterusnya, kami menuju ke rumah pelarian
Syria yang lain dan tidak jauh dari situ. Anak patung beruang diberi kepada
anak anak Syria dan klip rambut dikepala anak perempuan mereka. Anak anak Syria
berlari lari keriangan melihat kehadiran kami. Pelarian Syria yang tinggal di
sini juga perlu membayar sewa sebanyak 200USD dan bila dilihat keadaan rumah
mereka itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan harga sewa rumah
tersebut. Selepas itu, aku dukung salah
seorang anak Syria, menuju ke tepi jalan dimana keberadaan lori kami bersama
pek makanan sumbangan. Setibanya disitu, dia berlari terus memeluk bapanya. Aku
tersenyum melihat gelagatnya. Seterusnya seperti biasa, pek makanan sumbangan
diberi dan disampaikan oleh setiap dari kami dengan harapan sumbangan yang
sekecil ini dapat meringankan sedikit beban mereka.
Usai penyampaian sumbangan, kami terus dibawa pulang ke muassasah
ACA.Solat ditunaikan dan ada sedikit penyampaian cenderamata daripada USIM
kepada ACA dan sebaliknya. Aku mendapat goodies beg yang berisi dua helai selendang dan baju sejuk. Di muasssah, aku tidak lepaskan
peluang untuk membeli sedikit produk yang dihasilkan seperti kain telekung,
dulang yang bercorak dan kotak perhiasan yang bertulis Lebanon. Semuanya pada
harga 10 USD setiap satu.
Seterusnya,
disebabkan esokya adalah hari keberangkatan kami pulang ke Malaysia, kami meminta untuk dibawa ke
Beirut, syurga bagi orang arab dek keindahannya. Perjalanan lebih kurang 1 jam
ke sana dan setibanya di Beirut, pakcik
memeberhentikan bas dipinggir jalan berhadapan masjid Mohammad Al-Amin. Berpegangan
tangan dan melintas jalan, kami terus meluru ke masjid tersebut dan mengambil
gambar di luar masjid. Setelah itu, kami teruskan perjalanan dikota Beirut ini,
kelihatan lampu neon di setiap bangunan yang megah berdiri, pusat beli belah
yang penuh dengan barang berjenama D & C, Gucci dan bermacam lagi. Di tepian
jalan kelihatan tentera Lubnan sedang mengawal keselamatan kota Beirut, ada
yang senyum dan ada yang pelik melihat kami di tengah tengah kota metropolitan
ini. Kaki sudah lenguh berjalan , mata tertancap kepada photopoint besar yang bertulis I love Beirut . Kaki yang lenguh
tadi dilupakan dan aku terus berlari ke photopoint
tersebut. Gelagat kami masa itu seperti rusa masuk kampong. Gambar demi
gambar diambil untuk dijadikan kenangan semasa berada di Malaysia nanti. Kemudian,
kami menuju ke suatu tempat yang dikenali sebagai symbol Beirut iaitu Raouche
atau Pigeon Rock yang terletak tidak jauh dari situ. Kelihatan batu besar yang
seakan ais di dalam filem Titanic itu tertonjol di atas air. Bagi yang datang
melancong ke Lubnan janganlah lepaskan peluang untuk berkunjung ke kota ‘Paris
of The Middle East’ ini . Seterusnya, kelihatan dua orang lelaki yang sering
melihat kami dan pabila dihampiri mereka mengatakan bahawa mereka daripada
Syria. Kami ingin bertanya lebih kepada mereka tetapi diarah oleh Sis Najwa untuk
segera naik bas dan pulang ke Ketermaya.
Dalam
perjalanan pulang, kami singgah di suatu kedai besar Chamsine , ala ala kedai
manisan tetapi dipanggil huluwiyat
oleh orang arab. Malam itu, sis Najwa ingin belanja kami. Selepas memilih
aiskrim vanilla disalut biskut, aku terus berjalan melihat suasana di dalam
kedai tersebut ditambah dengan suara riuh rakan rakan yang lain sedang memilih
kek untuk dibeli. Aku berjalan ke bas dan menunggu rakan lain siap membeli
manisan yang digemari dan setelah itu kami terus pulang ke Ketermaya. Malam ini
merupakan malam terakhir aku di Lubnan khususnya Ketermaya. Mungkin aku akan
merindui Lubnan , sahabat ACA dan anak anak Syria. Pelarian Syria banyak memberi aku inspirasi
dan motivasi dalam meneruskan hidup ini.
Sementara sahabat ACA memberi aku ilmu tentang pengurusan yang mana ilmu
ini amat penting untuk aku sebagai seorang mahasiswa, hamba, dan semestinya
khalifahNya menjalankan amanah dimuka bumi ini.
|