Bahagian 5 : Misi Ummah Bermula
Wednesday 16 March 2016 | 00:42 | 0 Kura-kura
Tarikh : 30 Januari 2016
Masa : 7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Kem Hayah Annur, Birqayil School.
Cuaca
pagi yang sangat indah di Ketermaya. Selesai sarapan dan mendengar sedikit
perkongsian dan nasihat daripada Kak Maria Kamel , kami menuju ke muassasah bersama bagasi berisi
buku mewarna, alatulis dan snek sebagai bekalan untuk modul aktiviti pada hari
ini. Aktiviti kami pada hari ini dinamakan Let’s Learn dan dijalankan bersama
anak yatim yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Dalam menjalankan aktiviti ini, kami dibantu
oleh sis Nadine seorang gadis kacukan Syria, Lubnan dan Turki. Aktiviti yang
dijalankan adalah termasuk aktiviti mewarna, musical chair, dan menyanyi dan mengira dalam bahasa inggeris dan
bahasa arab. Kami beramah mesra dengan kesemua anak anak yatim ini. Ada yang
pemalu, ada yang ceria, dan ada yang terus mendiam tanpa kata. Walaupun kadang
kadang bahasa komunikasi menjadi
kekangan buat kami tetapi kami tetap rasa gembira kerana dapat menggembirakan
mereka walau hanya seketika. Kami difahamkan ada diantara mereka dua adik
beradik bernama Hasan dan Usamah, mereka melihat ibu bapa mereka dibunuh
dihadapan mata mereka sendiri. Betapa besarnya ujian dua anak kecil ini. Aku
tahu disebalik riangnya wajah mereka, pasti ada saat mereka terkenangnya kedua
ibu bapa mereka. Begitu banyak ayat al quran dan hadis yang menyebutkan tentang
berbuat baik kepada anak yatim, antaranya “Dan berbuat baiklah kepada ibu bapak dan kaum kerabat serta
anak-anak yatim dan orang-orang miskin.” (QS Al Baqoroh,2:83).
Jam
telah menunjukkan telah masuk waktu zohor dan setelah lama beramah tamah dengan
anak anak yatim di Muassasah, kami terus dibawa ke Kem Hayah Annur iaitu salah
satu kem pelarian Syria yang terletak di Ketermaya. Jalan yang kami lalui
dengan menaiki van penuh dengan liku, jalan yang berlubang dan tidak berturap.
Setelah beberapa minit sahaja, sebelum tiba di kem tersebut, sekumpulan anak anak
kecil Syria mengejar van yang kami dengan senyuman di wajah menandakan
keriangan menyambut kehadiran kami para aktivis. Setelah itu, van
memberhentikan enjinnya, kami turun dan memulai langkah menuju ke khemah tempat
tinggal keluarga Syria dan disana juga terdapat permainan kanak kanak seperti
buaian, gelongsor dan lain lain. Kelihatan begitu ramai sekali anak anak kecil
sedang gembira bermain dan ada jua ibu muda dalam lingkungan 18-20 tahun sedang
mendukung bayi mereka. Kami difahamkan bahawa kem tersebut menempatkan seramai
500 keluarga pelarian Syria termasuk 300 orang kanak kanak . Di kem ini hanya
terdapat dapur usang dan digunakan 4 keluarga bagi setiap satu dapur. Terdapat
ramai pelarian yang terkena jangkitan di kem tersebut, mungkin kerana sumber
air yang tidak bergitu bersih. Di sini aku berjumpa dengan seorang kanak kanak
berumur lingkungan 10 tahun, wajahnya comel, putih kemerahan dan namanya Bada’a
dia menarik-narik tanganku dan menunjukkan keadaan di setiap khemah di situ.
Dia juga menyanyikan lagu nasyid yang bertajuk Syria dan kelihatan matanya
mulai bergelingan air mata. Dari wajahnya aku tahu apa yang sedang bermain
disudut hatinya. Setelah itu, dia bercerita tentang keadaan di Syria.
Sungguhpun aku tidak berapa faham apa yang dia cuba sampaikan kerana dia
bercakap dalam bahasa arab, namun aku tahu bagaimana perasaannya sewaktu dia
menceritakan keadaannya itu.
Setelah
puas memerhati keadaan di kem itu, lori membawa barangan sumbangan berbentuk
selimut tiba. Keluarga pelarian Syria berpusu pusu untuk menerima sumbangan
daripada kami. Setelah selesai pemberian sumbangan 2 helai selimut untuk setiap
keluarga, lori kerosin tiba dan diberikan kepada setiap keluarga untuk kegunaan
sebagai pemanas badan. Selesai sudah pemberian sumbangan di Kem Hayah Annur ,
kami terus di bawa ke Birqayil School. Disini kami mengisi
perut dengan kebab daging dan menunaikan solat jamak takhir. Setelah itu kami
dibawa untuk melihat keadaan di salah satu kelas pelajar syria. Sekolah ini merupakan sekolah rendah dan kami
difahamkan bahawa 50 peratus daripada pelajar disitu merupakan anak Syria. Sesi
pembelajaran pagi di sekolah ini merupakan kelas untuk pelajar Lubnan dan pada
sesi sebelah petang sehingga jam 7 malam merupakan kelas untuk pelajar Syria. Seterusnya,
di dalam kelas , aktiviti bersama
pelajar Syria di jalankan dan diketuai oleh Humaira. Kedengaran riuh dengan
suara anak anak kecil ini kegembiraan. Mereka seolah olah sangat gembira
menerima kehadiran kami. Ada juga yang pendiam, malu mungkin. Ada seorang kanak
kanak di kelas itu juga, yang hanya membawa plastik sebagai beg untuk diisi
dengan buku buku ke sekolah. Sungguh menyedihkan dan mengingatkan kami tentang
erti kesyukuran. Plastik yang selalu menjadi bahan pakai buang adalah sesuatu
yang sangat berharga bagi anak Syria ini. Seterusnya, sumbangan pyjama kepada
pelajar Syria dan sumbangan sebanyak 2000 USD diberikan kepada perpustakaan di
sekolah ini untuk kegunaan pelajar mendapatkan pendidikan pada waktu petang
sehingga jam 7 malam. Setelah beberapa jam di sekolah itu, malam sudah pun tiba
dan kami mengadakan satu sesi fotografi bersama pengetua sekolah tersebut.
Setelah itu, kami semua menaiki van dan pulang ke apartmen kami di Ketermaya.
Matahari
mulai menenggelamkan diri dan kegelapan memenuhi suasana di Ketermaya. Usai
menunaikan solat isyak, aku melangkah ke ruangan di rumah lelaki di mana disini
tempat kami selalu menjamu selera. Malam itu, kami didatangi Sis Najwa, Haj
serta rakan-rakannya ke apartmen kami. Apa yang membuat kami teruja bila Sis
Najwa menjamu kami sekali lagi dan kali ini kami dihidangkan dengan Nasi Arab ,
yogurt dan kek buatannya sendiri. Malam itu meriah sekali dengan dihiasi gelak
tawa dari setiap tetamu yang hadir.
|