Bahagian 9 : Sayu Kota Lubnan
Wednesday 16 March 2016 | 01:07 | 0 Kura-kura
Tarikh : 3 Februari 2016
Masa :
7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Ikhlas, Lapangan Terbang Beirut
Pagi ini sayu sesayu hatiku. Kami bakal
meninggalkan Ketermaya hari ini. Selesai solat, Al-Mathurat dan sarapan, kami mengemas bilik apartmen yang kami
duduki. Setelah itu, semua bagasi dibawa keluar dan Nadine sudah berada disitu.
Kami berjalan ke ACA dan naik bas untuk menuju ke Ikhlas iaitu kedai menjual
manisan. Begitu banyak manisan yang dijual disana sehingga rambang mata aku
dibuat. Sekotak manisan yang terisi pelbagai manisan dibeli dengan harga 10
USD. Lama juga kami di Ikhlas, masing masing ingin membeli sebagai buah tangan untuk
diberi kepada rakan di Malaysia. Setelah itu, kami pulang ke Muassasah dan
berjumpa dengan semua staf staf disana dan bersalam untuk kali terakhir, suasana
membuatku sedikit sebak. Kemudian, kami semua ke hadapan Muassasah untuk sesi
fotografi bersama sama. Hampir jam 10 pagi, kami semua naik bas dan tangan
melambai kepada semua yang ada disitu.
Tiba
di lapangan terbang, kami terus meluru ke kaunter check in bagasi dan terus
berjalan ke balai pelepasan.Agak lama menunggu hinggalah satu jam selepas itu,
kami terus masuk ke perut kapal terbang Kuwait Airways. Perjalanan ke Malaysia
memakan masa 15 jam termasuk transit di Kuwait. Tiba di Malaysia dan jarum jam
menunjukkan hampir 1.30 pm. Kaki berpijak turun dari kapal terbang dengan jiwa
dan nafas yang baru. Jiwa seorang khalifah Allah yang ingin menebarkan kebaikan
di alam ini. Begitu juga kehidupan seorang pendakwah yang mana selain beribadah
kepada Allah, pendakwah mempunyai tanggungjawab dalam menyelamatkan manusia di
muka bumi Allah ini dan menjadi rahmatan lil ‘alamin. Pengalaman di Lubnan
banyak mengajar aku erti kehambaan dan kasih sayang sesama saudara Islam. Kesyukuran
terpancar tatkala merenung wajah wajah saudara seislam di sana. Manakan tidak,
bibir yang sering merungut ini sering alpa dan terlupa bahawa terdapat insan
yang lebih susah dan menghadapi keperitan jauh lebih banyak dari kita. Mereka
yakin tanpa persoalan. Yakin dengan apa yang ditetapkan olehNya dan syahid di
tanah air adalah sememangnya satu matlamat mereka. Harapan aku, semoga usaha yang dilakukan ini
dipandang oleh yang maha Esa.Amin.
Ya Rabbul Izzati
Keindahan embun pagi dan terbitnya
mentari tiadalah dinikmati
Di fikiran mencari ceruk
lorong melindungi diri
Ibu ayah dibunuh , Bashar Al Asad
menzalimi
Letupan bom, tembakan peluru
menjadi santapan telinga setiap hari
Wahai anak Syria perindu Syahid
Bulan bintang menghiasi
malam hari
Bertebaran ke sana sini mencari
perlindungan diri
Kecantikan malam tidak bisa menghilangkan
ketakutan di dalam diri
Namun, tenanglah wahai hati kerana
surga menanti
Dan Allah pasti sentiasa disisi
Bahagian 8 : Aku Jatuh Cinta
| 01:06 | 0 Kura-kura
Tarikh : 2 Februari 2016
Masa :
7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Arts Science and Technology University of Lebanon,
Ancienne Place Deir Al Qamar,Rumah Pelarian Syria, Beirut, Chamsine
Pagi ini seperti biasa selepas selesai
solat dan al-Mathurat, kami akan sarapan. Kali ini agak berbeza pabila untuk
pertama kalinya kami memasak magi pada waktu pagi untuk sarapan. Selepas
sarapan semua berkumpul untuk bersiap ke AUL iaitu Arts Science and Technology
University of Lebanon. Setibanya di sana, kami terus menuju ke bilik mesyuarat
utama universiti tersebut. Kami dihidang dengan sedikit jamuan ringan dan
agenda diteruskan dengan perbincangan dua hala mengenai university masing
masing. Menurut dekan university itu, 50% daripada yuran pengajian akan
ditanggung oleh pengarah university. Ini kerana university AUL merupakan university
yang tidak mementingkan keuntungan namun pendidikan kepada pelajar-pelajarnya. Terdapat
tiga fakulti keseluruhannya iaitu fakulti Pentadbiran Perniagaan, fakulti Sains
dan Seni Halus serta fakulti Seni dan Kemanusiaan. AUL juga menerima pelajar
antarabangsa dan kebanyakannya pelajar China. Perbincangan diteruskan , majalah yang
bertajuk al-I’jaz diedarkan kepada setiap dari kami beserta pamphlet AUL. Ku
buka sehelai demi sehelai, setiap perkataan semuanya dalam bahasa arab.
Sementara itu, aku memerhati betapa khusyuknya setiap orang mendengarkan ucapan
dari seorang Sheikh , tidak dapat ku pastikan namanya. Tetapi bila pergi
mendekat, percakapan beliau begitu berhikmah, setiap tutur katanya mempunyai
kebaikan dan ku mulai terpegun mendengarkannya. Selesai perbincangan di bilik
mesyuarat utama, kami dibawa bilik ke bilik termasuk bilik komputer, bilik
kejuruteraan, bilik robotik, bilik elektronik, studio dan macam macam lagi. Masuk
ke bilik robotik terlihat robot yang dicipta oleh pelajar dan akan dipertandingkan
dalam VEX pertandingan robotik antarabangsa yang sering diadakan. Manakala di
dalam bilik elektronik terdapat kalkulator yang dicipta sendiri dengan
menggunakan papan litar dan bahan elektronik yang lain. Secara keseluruhannya,
bilik bilik yang dilawati tidaklah begitu besar tetapi produk yang dihasilkan
pelajar mereka begitu menakjubkan dan perlu dicontohi. Seterusnya,
kami berjalan hingga ternampak ada satu kaunter yang bertulis ‘Cashier’
dan rupanya ia adalah kaunter bendahari university yang terletak di tingkat
bawah dan terbuka bagi memudahkan urusan pelajar. Seetelah selesai penjelajahan
kami di universiti itu, sesi penyampaian cenderamata bagi dua dua pihak dan
sesi fotografi diadakan sebagai kenang kenangan. Manakala beg dan coklat diedarkan
kepada seorang daripada kami . Pengalaman menjelajah ke universiti di Lubnan
ini banyak memberi impak dari segi pentadbiran dan akademik yang boleh
dijadikan teladan bagi penstrukturan masa hadapan.
Setelah
lama berada di AUL , kami teruskan perjalanan ke kawasan perkampungan Druze dan
berhenti solat di Ancienne Place Deir Al-Qamar. Dengan berwudhu , kaki
melangkah ke masjid Fakhreddine iaitu masjid yang tertua di Gunung Lubnan. Masjid yang dibina sejak
tahun 1493 ini masih kekal dalam bentuk asalnya sehingga kini. Di tengah Deir
Al Qamar pula dikenali sebagai Dany Chamoun Square. Tempat bersejarah itu
adalah untuk memperingati Assyahid Dany Chamoun iaitu seorang ahli politik
Lubnan yang terkenal dimana terdapat tugu dan plak nama yang bertatahkan nama
Assyahid Dany Chamoun. Ditengahnya pula
terdapat pancut yang diberi nama Circular Drinking Mountain yang dibina pada
kurun ke 19 pada zaman Moutassarifat. Setelah bergambar , kami membeli sedikit
buah dan kekacang yang segar di pinggir jalan seperti kismis, aprikot, tin,
walnut dan lain lain lagi. Pilih sahaja yang mana mahu akan ditimbang dan
diberi harga yang berpatutan. Setelah itu, kami dibawa bersiar siar melihat gunung
ganang di perkampungan druze. Dapat dilihat sepanjang jalan, istana istana lama
yang terletak dipergunungan dan ada juga ternampak bekas tempat tinggal
pelarian Palestin yang mungkin kini sudah bertebaran. Perjalanan ini membuka
mata untuk aku lebih mempelajari lebih mendalam mengenai sejarah, bukan sahaja
sejarah lain, malahan sejarah di negaraku sendiri. Bak kata pepatah “Sesiapa
yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya”.
Setelah itu, kami terus menuju ke
destinasi seterusnya untuk agenda yang lebih besar iaitu rumah rumah pelarian
Syria yang terdapat di Ketermaya. Tempat tinggal pelarian Syria kali ini lebih
berbeza berbanding mukhayyam yang kami sudah pergi pada hari sebelumnya. Mereka
tinggal didalam rumah dan hidup seperti penduduk Lubnan yang lain, perlu
bekerja dan membayar sewa rumah. Bila aku disana, mereka seakan gembira dan
terlalu teruja untuk menunjukkan kepada kami tempat tinggal mereka. Selain itu,
terdapat keluarga pelarian Syria yang tinggal di kabin kecil, kabin sederhana
besar dan rumah yang masing masing perlu membayar sewa rumah sebanyak 50, 150
dan 200 USD kepada kerajaan Lubnan. Bila ditanya ada kanak kanak Syria berumur
10 tahun yang terpaksa bekerja menjual sayur untuk menanggung keluarga. Kaki
berjalan menuju ke sebuah rumah yang beratapkan jalanraya, seolah olah kami
masuk ke dalam rumah bawah tanah. Perasaan sebak mulai menguasai pabila melihat
keadaan keluarga ini. Keluarga Syria yang terpaksa tinggal di rumah ini untuk
meneruskan hidup dan menjual gula gula kapas untuk menyara hidup. Bagi
meringankan sedikit beban keluarga ini, Prof membeli semua gula gula kapas yang
dihasilkannya. Lelaki Syria ini juga turut menunjukkan kepada kami cara
bagaimana menghasilkan gula gula kapas menggunakan mesin yang telah dikhaskan.
Lori sumbangan sudah tiba dan kini
tiba masanya untuk penyampaian sumbangan pek makanan kepada setiap keluarga
Syria di sini. Mereka tersenyum ria. Seterusnya, kami menuju ke rumah pelarian
Syria yang lain dan tidak jauh dari situ. Anak patung beruang diberi kepada
anak anak Syria dan klip rambut dikepala anak perempuan mereka. Anak anak Syria
berlari lari keriangan melihat kehadiran kami. Pelarian Syria yang tinggal di
sini juga perlu membayar sewa sebanyak 200USD dan bila dilihat keadaan rumah
mereka itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan harga sewa rumah
tersebut. Selepas itu, aku dukung salah
seorang anak Syria, menuju ke tepi jalan dimana keberadaan lori kami bersama
pek makanan sumbangan. Setibanya disitu, dia berlari terus memeluk bapanya. Aku
tersenyum melihat gelagatnya. Seterusnya seperti biasa, pek makanan sumbangan
diberi dan disampaikan oleh setiap dari kami dengan harapan sumbangan yang
sekecil ini dapat meringankan sedikit beban mereka.
Usai penyampaian sumbangan, kami terus dibawa pulang ke muassasah
ACA.Solat ditunaikan dan ada sedikit penyampaian cenderamata daripada USIM
kepada ACA dan sebaliknya. Aku mendapat goodies beg yang berisi dua helai selendang dan baju sejuk. Di muasssah, aku tidak lepaskan
peluang untuk membeli sedikit produk yang dihasilkan seperti kain telekung,
dulang yang bercorak dan kotak perhiasan yang bertulis Lebanon. Semuanya pada
harga 10 USD setiap satu.
Seterusnya,
disebabkan esokya adalah hari keberangkatan kami pulang ke Malaysia, kami meminta untuk dibawa ke
Beirut, syurga bagi orang arab dek keindahannya. Perjalanan lebih kurang 1 jam
ke sana dan setibanya di Beirut, pakcik
memeberhentikan bas dipinggir jalan berhadapan masjid Mohammad Al-Amin. Berpegangan
tangan dan melintas jalan, kami terus meluru ke masjid tersebut dan mengambil
gambar di luar masjid. Setelah itu, kami teruskan perjalanan dikota Beirut ini,
kelihatan lampu neon di setiap bangunan yang megah berdiri, pusat beli belah
yang penuh dengan barang berjenama D & C, Gucci dan bermacam lagi. Di tepian
jalan kelihatan tentera Lubnan sedang mengawal keselamatan kota Beirut, ada
yang senyum dan ada yang pelik melihat kami di tengah tengah kota metropolitan
ini. Kaki sudah lenguh berjalan , mata tertancap kepada photopoint besar yang bertulis I love Beirut . Kaki yang lenguh
tadi dilupakan dan aku terus berlari ke photopoint
tersebut. Gelagat kami masa itu seperti rusa masuk kampong. Gambar demi
gambar diambil untuk dijadikan kenangan semasa berada di Malaysia nanti. Kemudian,
kami menuju ke suatu tempat yang dikenali sebagai symbol Beirut iaitu Raouche
atau Pigeon Rock yang terletak tidak jauh dari situ. Kelihatan batu besar yang
seakan ais di dalam filem Titanic itu tertonjol di atas air. Bagi yang datang
melancong ke Lubnan janganlah lepaskan peluang untuk berkunjung ke kota ‘Paris
of The Middle East’ ini . Seterusnya, kelihatan dua orang lelaki yang sering
melihat kami dan pabila dihampiri mereka mengatakan bahawa mereka daripada
Syria. Kami ingin bertanya lebih kepada mereka tetapi diarah oleh Sis Najwa untuk
segera naik bas dan pulang ke Ketermaya.
Dalam
perjalanan pulang, kami singgah di suatu kedai besar Chamsine , ala ala kedai
manisan tetapi dipanggil huluwiyat
oleh orang arab. Malam itu, sis Najwa ingin belanja kami. Selepas memilih
aiskrim vanilla disalut biskut, aku terus berjalan melihat suasana di dalam
kedai tersebut ditambah dengan suara riuh rakan rakan yang lain sedang memilih
kek untuk dibeli. Aku berjalan ke bas dan menunggu rakan lain siap membeli
manisan yang digemari dan setelah itu kami terus pulang ke Ketermaya. Malam ini
merupakan malam terakhir aku di Lubnan khususnya Ketermaya. Mungkin aku akan
merindui Lubnan , sahabat ACA dan anak anak Syria. Pelarian Syria banyak memberi aku inspirasi
dan motivasi dalam meneruskan hidup ini.
Sementara sahabat ACA memberi aku ilmu tentang pengurusan yang mana ilmu
ini amat penting untuk aku sebagai seorang mahasiswa, hamba, dan semestinya
khalifahNya menjalankan amanah dimuka bumi ini.
Bahagian 7 : Penat tapi Senang Hati !
| 00:59 | 0 Kura-kura
Tarikh : 1 Februari 2016
Masa :
9.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Kem Al Abrar , Istana Laut Saida, Al-Jinan University, Souk Saida, Muassasah
ACA, Aiskrim
Matahari mulai terbit, embun membasahi
disegenap penjuru Ketermaya. Pagi itu sejuk seperti biasa dan kami sarapan
dengan nasi arab yang dua hari lepas. Kami
difahamkan yang kami akan dibawa melawat dan melihat Muassasah ACA. Aku berasa
sudah tidak sabar untuk melihat apa yang ada di muassasah ini. Beg kami
ditinggalkan di bilik mesyuarat utama dan terus menuju ke bangunan bersebelahan
dengan surau muassasah. Lif ditekan dan menuju ke aras paling bawah. Bila sudah
sampai , aku agak terpegun dan takjub apabila melihat bengkel kayu dan perabot
disitu seolah olah berada didalam bilik rahsia, dibawah tanah. Perabot perabot
yang dihasilkan merupakan hasil buatan mereka sendiri dan akan di eksport ke
negara negara lain. Bukan itu sahaja, di muassasah itu juga terdapat tempat
atau kilang untuk menghasilkan baju sejuk, vest dan bermacam produk yang
berasaskan fabrik daripada kapas.
Pekerja di kilang tersebut terdiri daripada lelaki dan perempuan .
Kilang itu menghasilkan baju sejuk sebanyak 200 setiap satu hari. Kami
meneruskan langkah dan melawat setiap sudut; disitu juga terdapat gym, snooker,
dewan teater dan bermacam macam lagi. Mereka sangat pandai dalam menguruskan
sumber dan asset yang ada dan mereka mampu untuk menghasilkan produk sendiri
untuk kegunaan sendiri dan orang lain jua. Kaki melangkah menuju ke klinik
bersebelahan dan melawat bilik ke bilik rawatan yang terdapat di klinik
tersebut. Klinik itu menawarkan rawatan percuma kepada pelarian Syria ataupun
rakyat Lubnan yang miskin dan potongan bayaran rawatan bagi penduduk Lubnan
yang lain. Aku melihat betapa prihatinnya mereka terhadap keadaan rakyat di
Negara Lubnan sehingga memberikan rawatan percuma kepada penduduk nya yang
miskin dan tidak mementingkan keuntungan semata mata.
Selepas
itu, selepas puas melawat setiap inci muassasah , kami dibawa ke tempat
bersejarah di Lebanon iaitu kubu pertahanan Sidon yang terletak di Sayda
Lebanon. Kota yang penuh bersejarah Sidon ini terletak berdekatan kota Beirut
sejauh 43 kilometer. Kota ini ni merupakan salah satu kota ahli fonetik
terkuat, yang masih kekal dalam bentuk yang asli dan sejarahnya. Istana Laut Sidon ini mempunyai rekaannya yang
tersendiri dan kalau dilihat dari segi rekaannya pasti ada sejarah yang menarik
disebaliknya. Perasaan amat gembira setibanya di sana, dengan pemandangan yang
berlatar belakangkan laut dan bangunan batu bata yang indah. Kak Maryam
menceritakan serba sedikit sejarah yang terdapat pada Istana Laut Sidon atau
Sayda ini. Pada tahun 1228 M, Istana
Laut Sidon dibina oleh Tentara Salib di atas sebuah pulau kecil yang
menghubungkan sebuah tambak dengan darat. Dari menara istana itu dapat dilihat
pemandangan indah di pelabuhan dan kota Sidon. Kini di Istana Laut itu masih
tersisa keindahan yang menawan menerusi ornament yang terdapat dalam benteng
dan sebuah tiang yang terdapat pada bangunan bangunan khas Romawi.
Foto
beramai ramai di ambil , masih belum puas rasanya disini namun kami di arah
untuk bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Al – Jinan University yang
terletak di Saida , tidak jauh dari situ. Di atas bas, kami menikmati gula gula
kapas yang dipanggil sebagai Ghazlul Banat yang bermaksud kemanisan anak gadis,
sungguh enak rasanya. Setibanya disana, kami terus dibawa ke perpustakaan di
university tersebut. Bermula dengan sesi suai kenal dan diteruskan dengan
perbincangan dan penjelasan mengenai akademik dan pentadbiran di universiti
masing masing dan diterangkan oleh Encik Imad Seif Dine selaku pengarah
Universiti Al jinan cawangan Saida dan Prof Dr Norita Md Norwawi bagi pihak
Universiti Sains Islam Malaysia serta dibantu Kak Maria Kamel. Cawangan
universiti Jinan juga terdapat di
Lebanon Utara iaitu di Tripoli. Universiti Al-Jinan ditubuhkan pada 14 Oktober 1988 oleh Muna Yakan iaitu isteri
kepada Fathi Yakan. Universiti ini menggunakan sistem latihan praktikal setelah
menamatkan pengajian di sini dan aktiviti khidmat masyarakat akan dimasukkan ke
dalam gred pemarkahan. Kami difahamkan bahawa semasa lawatan kami
pelajar-pelajar university itu sedang dalam fatrah peperiksaan. Jadi, kami
tidak dapat untuk melawat ke setiap kelas dan dewan kuliah. Namun, Encik Imad
Seif Dine membawa kami melawat ke Makmal Kesihatan Awam, Makmal Komunikasi dan
Makmal Sains Kejururawatan. Didalam makmal tersebut, cik Shamms Issa
menerangkan mengenai program sains kejururawatan di universiti ini. Setelah
puas berjalan, sesi fotografi dan
penyampaian cenderamata kepada pihak University Aljinan diadakan. Kampus
yang berlatar belakangkan pohon pohon hijau dan luasnya gelanggang futsal bagi
yang gemar berfutsal pasti membuat setiap orang ingin merasai pengalaman
belajar di sini.
Waktu
menghampiri zohor, bas terus bergerak untuk menuju ke Souk Sayda pusat beli
belah bagi sesiapa yang datang ke Lebanon. Perjalanan ke sana memakan masa
selama satu jam, melalui keindahan kota,
dan di tengah tengah perjalanan kak Maryam menunjukkan satu masjid kepada kami
yang diberi nama Masjid Syiah Husainiah iaitu masjid untuk golongan syiah di
sana. Aku melihat dihadapan masjid itu di kawal oleh seorang tentera. Setelah
beberapa minit, bas mematikan enjinnya, dan kami turun dari bas menuju ke souk
Sayda. Souk Saida ini telah wujud ratusan malahan tahun lamanya dan dipenuhi
dengan lorongan yang sempit dan bangunan batu bata. Seterusnya, sis Najwa belanja kami makan kebab falafel di
salah satu kedai disini. Falafel merupakan bebola yang berasakan kacang dan
sayuran dan digoreng tetapi rasanya seperti bebola daging yang sedap.
Seterusnya , di sini kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Aku, prof, kak
Maria, Hanim, Rawaidah,Wali,sis Najwa, doktor dan Khairi merupakan kumpulan
kedua. Tujuan utama sebenarnya untuk membeli cenderahati dari Lubnan hadiah
buat teman teman dan sanak saudara di Malaysia. Namun, perjalanan kami di Souk
Sayda pada hari ini lebih kepada perjalanan ilmiah. Lorong lorong dilalui, kiri
kanan dipenuhi para peniaga dan kanak kanak bermain riang. Kewajipan solat
belum ditunaikan, mata mencari cari di manakah surau atau masjid untuk solat
manakala kaki terus laju melangkah. Di suatu tempat di situ, kami terjumpa
sebuah masjid yang bersejarah. Dimulai dengan solat sunat dan terus solat zohor asar berjemaah. Masjid
masjid di kota Lebanon ruangannya dikhaskan untuk para Jemaah lelaki sahaja
kerana para wanita memang akan solat di rumah. Seterusnya, kami meneruskan
perjalanan hingga memasuki ruangan El-Omari Great Mosque. Azan berkumandangan
menandakan waktu asar telah masuk. Para Jemaah muslimin menuju masuk ke masjid
untuk menunaikan solat Asar. Di masjid ini sis Najwa memberitahu kepada kami
bahawa masjid ini pada asalnya adalah sebuah gereja yang telah ditukarkan kepada
sebuah masjid semasa penaklukan Salahuddin Al Ayyubi. Masjid ini diberi nama
sempena khalifah islam yang kedua iaitu Omar ibnul Khattab. Bangunan masjid ini
mempunyai seni bina yang paling cantik pada kurun ke 13. Hasil seni bina masjid
yang luas dan besar ini adalah hasil gabungan tentera salib dan Mamluk. Di
dalamnya pula terdapat ukiran yang cantik pada dinding dan dua mimbar
menunjukkan dua mazhab.
Waktu
sudah hampir menunjukkan jam 5.00 petang , kami berjalan hingga ke sebuah kedai
sabun yang terletak tidak jauh dari situ. Pelbagai jenis barangan barangan yang
boleh dibuat cenderamata berasaskan sabun di sini. Sabun yang diperbuat daripada minyak zaitun
dijual di sini direka dengan pelbagai warna dan berbau sangat harum. Mata
rambang tidak tahu mahu pilih yang mana. Masa sudah suntuk, tanganku mencapai 3
ketul sabun dan 3 keping magnet peti sejuk dan dibayar dengan satu keping 100
USD. Dibungkus dalam kotak yang cantik terus digapai dan menuju ke bas yang
diletak dipinggiran jalan. Bas bergerak menuju pulang ke Ketermaya. Setibanya
di Muassasah di Ketermaya, anak anak yatim sudah menunggu di dewan utama
muassasah. Belon warna warni menghiasi, meja dipenuhi nasi beriani dan pelbagai
juadah arab lagi. Kami menjamu selere sambil beramah mesra dengan sahabat ACA
kami dan setelah kekenyangan kami melayan anak anak yatim di situ. Mereka ku
lihat sangat gembira dan bermain dengan riang. Button badge Syria diagihkan dan
dipakai pada baju setiap anak yatim di sana. Aku juga sangat gembira melihat
wajah mereka yang penuh kegembiraan. Usai majlis makan malam di muassasah,
masing masing menuju ke surau dengan berwudhu untuk menunaikan kewajipan kepada
yang maha Esa.
Selepas
itu, kami dikhabarkan bahawa Haj Imaad akan membawa kami untuk makan aiskrim.
Aku dengan penuh teruja ingin merasai bagaimana rasanya aiskrim orang arab ini.
Pakcik bas sudah pulang jadi kami ke sana dengan menaiki kereta Haj Dan isteri
doktor. Kami menuju ke kedai Haj Ali Abi Talib Assyahirah. Melangkah masuk ke
kedai tersebut, minta sahaja perisa apa yang dikehendaki dia akan memenuhi
permintaan setiap pelanggannya. Aku meminta untuk dicampurkan segala perisa,
aku ambil dan makan di tempat duduk di kedai itu. Rasa aiskrim di situ sangat
berbeza dengan aiskrim di Malaysia. Rasanya sedikit masam dengan tekstur
aiskrim yang agak likat dan pasti menggamit setiap orang yang merasainya. Selain
aiskrim, koktail dan pelbagai makanan dijual dikedai tersebut. Setelah satu jam dikedai Haj Ali Abi Talib
Assyahirah, kami pulang ke apartmen dengan menaiki van. Seperti biasa, sesampai
di apartmen, kami melakukan kendiri dan untuk mengurangkan kesejukan , kami
masak dan makan maggi . Untuk esoknya, kami diminta untuk berkumpul tepat jam
9.00 pagi untuk aktiviti seterusnya.
Bahagian 6 : Empati peritnya pejuang Islam
| 00:45 | 0 Kura-kura
Tarikh : 31 Januari 2016
Masa :
7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Kem Al Abrar
Waktu jam 5 pagi , kami semua bangun dan
bila masuknya waktu subuh kami menunaikan solat subuh berjemaah. Selesai zikir
dan al mathurat, kami sarapan dan membuat sedikit perkongsian pengalaman
setelah seharian berprogram di kem pelarian Syria kelmarin. Pagi itu suasana
agak kelam kabut disebabkan kami yang perempuan terkunci dari luar rumah. Mujur
Hajj datang membantu. Setelah itu, kami dimaklumkan yang kami akan ke kem
pelarian Syria yang bersuhu -12oC. Oleh itu, setiap dari kami
memakai hampir 3-4 helai baju untuk
menghangatkan badan. Perjalanan kami pagi ini sangat panjang hingga memakan
masa hampir 3 jam untuk sampai ke Biqaa’. Kelihatan pemandangan bukit bukau,
gunung ganang yang dipenuhi salju sepanjang perjalanan amat memukau sesiapa
sahaja yang melihatnya. Sebelum tiba di Kem Al-Abrar di Biqaa, bas yang kami
naiki itu berhenti di sebuah tempat yang bersalji dan sangat cantik. Keterujaan
menguasai diri kami kerana itu merupakan pengalaman dan saat yang pertama kami
melihat salji di hadapan mata. Kami bermain ais walaupun terasa kesejukannya.
Setelah puas bermain,
kami teruskan perjalanan ke destinasi utama kami ialah ke mukhayyam di Biqaa’.
Turun sahaja dari bas dapat sahaja ku lihat betapa menyedihkan sekali keadaan
pelarian Syria di sana. Ku lihat ada sekumpulan anak anak Syria berkumpul dan
menyanyikan lagu yang bertajuk Al Mawtini yang bermaksud Tanah Airku. Sayu
sekali perasaanku bila melihat mereka menyanyikan tentang lagu tanah air mereka
iaitu Syria. Setelah itu, kami memberikan gula gula kepada kanak kanak disitu
dan mendukung anak anak kecil yang sangat comel. Di kem Al Abrar ini terdapat
seorang sheikh yang sangat disegani yang bernama Sheikh Yahyah Abrar dan beliau
merupakan peneraju di mukhayyam tersebut. Kem ini memuatkan seramai 40,000
pelarian Syria dan apa yang sangat mengagumkan kami di kem ini terdapat janakuasa yang dibina sendiri dan di setiap
khemah di mukhayyam itu terdapat satu tandas . Keadaan di kem ini agak lebih
baik berbanding keadaan dikem yang kami lawati pada hari semalam. Selain itu,
enduduk Lubnan sendiri yang mewakafkan untuk pelarian Syria disini. Di kem ini
juga kami dapat lihat keadaan seorang remaja yang kehilangan kaki sebelah
kerana terkena bom di Syria. Tidak lama kemudian, lori yang membawa barangan
sumbangan tiba. Barangan sumbangan yang
diberikan kepada pelarian Syria kali ini berbentuk pek makanan dan baju sejuk. Usai
pemberian sumbangan sebanyak 42 keluarga di kem tersebut, kami dibawa ke kem
seterusnya iaitu kem Hamed al-Louz. Kem yang kami tujui ini menempatkan
keluarga pelarian Syria yang hanya tinggal di dalam rumah kabin sahaja. Setibanya
di sana, mereka menyambut kehadiran kami dan kami rasa sangat dihargai.
Di sini aku ingin menunaikan kewajipan aku sebagai hambaNya dan aku
mencari cari surau untuk menunaikan solat. Kami di ajak oleh seorang kanak
kanak perempuan bernama Samihah untuk solat di rumah kabinnya yang usang dan
kecil itu. Pengalaman merasai berada di dalam kabin sangat berharga buat aku.
Setelah itu, kami memberi gula gula kepada kanak kanak Syria di situ dan ada
yang mengerumuniku untuk mendapatkan gula gula mereka. Perasaan sangat gembira terbit di jiwa ini
bila melihat wajah wajah yang dahulunya sedih dan kini menjadi riang. Apabila
ditanya kepada mereka, kebanyakan suami dan bapa kepada isteri dan anak kecil
ini menghidapi penyakit ataupun dipenjara di Syria. Begitu besar dugaan dan ujian yang mereka
tempuh dalam meneruskan hidup di hari hari yang mendatang.
Setelah itu, kami terus
menuju ke markaz pelarian Syria di Benjenin. Tempat ini tidak seperti kem kem
yang sebelumnya namun lebih kepada rumah kedai dan menempatkan sebilangan
pelarian Syria disini. Tidak lama selepas itu, kami terus memberi sumbangan kepada
pelarian Syria.
Pada sebelah petang,
kami dibawa berjalan jalan mencuci mata melihat pemandangan bukit bukau. Penat
pada hari itu telah kembali segar bila aku melihat gunung gunung yang hijau. Selain
itu, dapat aku lihat disepanjang jalan ada papan tanda memorial sepertinya
gambar itu seperti gambar seorang tentera. Sis Maryam menjelaskan bahawa gambar
tersebut merupakan tentera yang membantu rejim dan mati dibunuh di Syria. Perjalanan
memakan masa hampir satu jam hingga kami tiba di satu checkpoint. Dari checkpoint tersebut hanya 20 km untuk ke
sempadan Lubnan-Israel. Perasaan sudah terasa seperti ada yang tidak kena
sedang berlaku. Aku melihat 3 orang tentera Lubnan berpakaian celoreng hijau
memegang senapang dengan wajah yang bengis. Perasaan cuak dikawal dan cuba
untuk berlagak seperti tiada apa yang sedang berlaku. Namun, dalam pada itu,
segala barang barang yang berlogo Syria cuba untuk disorok. Semua passport kami
di ambil untuk diperiksa barangkali. Semua menanti dengan penuh debaran. Satu
demi satu passport diselak dan diperiksa. Haj ku perhatikan sedang berbincang
dengan salah seorang tentera dari situ, tidak tahu apa yang sedang dibincangkan
tetapi dalam pada itu dia memegang telefon sepertinya sedang berbual dengan
seseorang. Sejam setelah ditahan, passport kami di serah dan semua menarik
nafas lega. Selepas kejadian itu, kami dimaklumkan bahawa hanya orang Lubnan
sahaja yang dibenarkan untuk melepasi checkpoint tersebut. Memang sudah diagak
dari awal.Mujur sahaja tiada apa yang buruk berlaku kepada kami. Alhamdulillah
semua mengucap lafaz syukur. Waktu sudah mulai hampir malam kami diarahkan
untuk u-turn dan terus menuju pulang
ke Ketermaya. Dalam perjalanan pulang, Haj Imaad membawa kami ke rumah
sahabatnya. Kami menziarahi dan beramah mesra dengan keluarga orang arab di
sana. Beliau sangat ramah dan menjamu kami dengan kurma basah dan kopi arab
yang kami tidak pernah ketemui di Malaysia.
Hari ini penuh dengan
pengalaman baru dan penuh dengan pelbagai perasaan. Ada sedih, simpati,
gembira, cemas, dan takut. Begitulah rencah seorang pejuang, mereka tidak
dihamparkan dengan permaidani merah tetapi liku onak duri itu menghiasi
perjalanan perjuangan mereka.
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja)
mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? [Al
ankabut : ayat 2]
Ayat 2 dari surah al
ankabut jelas mengatakan tentang perjuangan. Tiadalah namanya perjuangan jika
tidak diuji. Apa yang ditempuhi hari ini hanya sekelumit daripada apa yang
pejuang pejuang islam rasai dalam memenangkan Islam di mata dunia. Dari apa
yang berlaku adalah titik permulaan aku untuk terus berjuang dan membuat
kebaikan kepada ummah tidak kisah dari apa jua sudut.
Bahagian 5 : Misi Ummah Bermula
| 00:42 | 0 Kura-kura
Tarikh : 30 Januari 2016
Masa : 7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Kem Hayah Annur, Birqayil School.
Cuaca
pagi yang sangat indah di Ketermaya. Selesai sarapan dan mendengar sedikit
perkongsian dan nasihat daripada Kak Maria Kamel , kami menuju ke muassasah bersama bagasi berisi
buku mewarna, alatulis dan snek sebagai bekalan untuk modul aktiviti pada hari
ini. Aktiviti kami pada hari ini dinamakan Let’s Learn dan dijalankan bersama
anak yatim yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Dalam menjalankan aktiviti ini, kami dibantu
oleh sis Nadine seorang gadis kacukan Syria, Lubnan dan Turki. Aktiviti yang
dijalankan adalah termasuk aktiviti mewarna, musical chair, dan menyanyi dan mengira dalam bahasa inggeris dan
bahasa arab. Kami beramah mesra dengan kesemua anak anak yatim ini. Ada yang
pemalu, ada yang ceria, dan ada yang terus mendiam tanpa kata. Walaupun kadang
kadang bahasa komunikasi menjadi
kekangan buat kami tetapi kami tetap rasa gembira kerana dapat menggembirakan
mereka walau hanya seketika. Kami difahamkan ada diantara mereka dua adik
beradik bernama Hasan dan Usamah, mereka melihat ibu bapa mereka dibunuh
dihadapan mata mereka sendiri. Betapa besarnya ujian dua anak kecil ini. Aku
tahu disebalik riangnya wajah mereka, pasti ada saat mereka terkenangnya kedua
ibu bapa mereka. Begitu banyak ayat al quran dan hadis yang menyebutkan tentang
berbuat baik kepada anak yatim, antaranya “Dan berbuat baiklah kepada ibu bapak dan kaum kerabat serta
anak-anak yatim dan orang-orang miskin.” (QS Al Baqoroh,2:83).
Jam
telah menunjukkan telah masuk waktu zohor dan setelah lama beramah tamah dengan
anak anak yatim di Muassasah, kami terus dibawa ke Kem Hayah Annur iaitu salah
satu kem pelarian Syria yang terletak di Ketermaya. Jalan yang kami lalui
dengan menaiki van penuh dengan liku, jalan yang berlubang dan tidak berturap.
Setelah beberapa minit sahaja, sebelum tiba di kem tersebut, sekumpulan anak anak
kecil Syria mengejar van yang kami dengan senyuman di wajah menandakan
keriangan menyambut kehadiran kami para aktivis. Setelah itu, van
memberhentikan enjinnya, kami turun dan memulai langkah menuju ke khemah tempat
tinggal keluarga Syria dan disana juga terdapat permainan kanak kanak seperti
buaian, gelongsor dan lain lain. Kelihatan begitu ramai sekali anak anak kecil
sedang gembira bermain dan ada jua ibu muda dalam lingkungan 18-20 tahun sedang
mendukung bayi mereka. Kami difahamkan bahawa kem tersebut menempatkan seramai
500 keluarga pelarian Syria termasuk 300 orang kanak kanak . Di kem ini hanya
terdapat dapur usang dan digunakan 4 keluarga bagi setiap satu dapur. Terdapat
ramai pelarian yang terkena jangkitan di kem tersebut, mungkin kerana sumber
air yang tidak bergitu bersih. Di sini aku berjumpa dengan seorang kanak kanak
berumur lingkungan 10 tahun, wajahnya comel, putih kemerahan dan namanya Bada’a
dia menarik-narik tanganku dan menunjukkan keadaan di setiap khemah di situ.
Dia juga menyanyikan lagu nasyid yang bertajuk Syria dan kelihatan matanya
mulai bergelingan air mata. Dari wajahnya aku tahu apa yang sedang bermain
disudut hatinya. Setelah itu, dia bercerita tentang keadaan di Syria.
Sungguhpun aku tidak berapa faham apa yang dia cuba sampaikan kerana dia
bercakap dalam bahasa arab, namun aku tahu bagaimana perasaannya sewaktu dia
menceritakan keadaannya itu.
Setelah
puas memerhati keadaan di kem itu, lori membawa barangan sumbangan berbentuk
selimut tiba. Keluarga pelarian Syria berpusu pusu untuk menerima sumbangan
daripada kami. Setelah selesai pemberian sumbangan 2 helai selimut untuk setiap
keluarga, lori kerosin tiba dan diberikan kepada setiap keluarga untuk kegunaan
sebagai pemanas badan. Selesai sudah pemberian sumbangan di Kem Hayah Annur ,
kami terus di bawa ke Birqayil School. Disini kami mengisi
perut dengan kebab daging dan menunaikan solat jamak takhir. Setelah itu kami
dibawa untuk melihat keadaan di salah satu kelas pelajar syria. Sekolah ini merupakan sekolah rendah dan kami
difahamkan bahawa 50 peratus daripada pelajar disitu merupakan anak Syria. Sesi
pembelajaran pagi di sekolah ini merupakan kelas untuk pelajar Lubnan dan pada
sesi sebelah petang sehingga jam 7 malam merupakan kelas untuk pelajar Syria. Seterusnya,
di dalam kelas , aktiviti bersama
pelajar Syria di jalankan dan diketuai oleh Humaira. Kedengaran riuh dengan
suara anak anak kecil ini kegembiraan. Mereka seolah olah sangat gembira
menerima kehadiran kami. Ada juga yang pendiam, malu mungkin. Ada seorang kanak
kanak di kelas itu juga, yang hanya membawa plastik sebagai beg untuk diisi
dengan buku buku ke sekolah. Sungguh menyedihkan dan mengingatkan kami tentang
erti kesyukuran. Plastik yang selalu menjadi bahan pakai buang adalah sesuatu
yang sangat berharga bagi anak Syria ini. Seterusnya, sumbangan pyjama kepada
pelajar Syria dan sumbangan sebanyak 2000 USD diberikan kepada perpustakaan di
sekolah ini untuk kegunaan pelajar mendapatkan pendidikan pada waktu petang
sehingga jam 7 malam. Setelah beberapa jam di sekolah itu, malam sudah pun tiba
dan kami mengadakan satu sesi fotografi bersama pengetua sekolah tersebut.
Setelah itu, kami semua menaiki van dan pulang ke apartmen kami di Ketermaya.
Matahari
mulai menenggelamkan diri dan kegelapan memenuhi suasana di Ketermaya. Usai
menunaikan solat isyak, aku melangkah ke ruangan di rumah lelaki di mana disini
tempat kami selalu menjamu selera. Malam itu, kami didatangi Sis Najwa, Haj
serta rakan-rakannya ke apartmen kami. Apa yang membuat kami teruja bila Sis
Najwa menjamu kami sekali lagi dan kali ini kami dihidangkan dengan Nasi Arab ,
yogurt dan kek buatannya sendiri. Malam itu meriah sekali dengan dihiasi gelak
tawa dari setiap tetamu yang hadir.
Bahagian 4 : Beirut Kota Paris Orang Arab
| 00:38 | 0 Kura-kura
Tarikh : 29 Januari 2016
Masa : 3.00 petang
Tempat : Lapangan Terbang Antarabangsa
Beirut
Bangunan
bangunan yang terdiri daripada batu bata kelihatan di sudut tingkap kapal
terbang menandakan kami sudah tiba di perkarangan destinasi. Jiwa penuh dengan
ruh dan perasaan seorang mujahid mujahidah yang ingin berjihad di negara orang.
Kami melangkah dan terus menuju ke imegresen untuk pemeriksaan. Apabila seorang
demi seorang berjaya melepasi pemeriksaan tersebut, Abang Syahrir menghadapi
sedikit kesulitan. Beliau tidak dapat bersama kami bagi meneruskan misi ini.
Namun begitu, beliau tetap memberi semangat kepada kami untuk meneruskan misi
ini walaupun tanpa beliau. Kami terus bergegas ke tempat tuntutan bagasi untuk
mengambil kesemua bagasi kami dan terus ke balai ketibaan. Setibanya di balai
ketibaan, kami disambut oleh 3 orang wanita arab yang sangat peramah iaitu Sis
Najwa, Salwa dan Chourouk. Mereka merupakan ahli badan NGO di Lubnan yang bakal
membantu kami nanti yang diberi nama Awareness
& Consolation Association (ACA). Kami menaiki bas mini menuju ke Ketermaya
Iklim El-Khouroub El-Chouf dan perjalanan mengambil masa hampir satu jam.
Perasaan penuh keterujaan apabila kelihatan bahasa arab digunakan di setiap
ceruk papan tanda yang berada di sepanjang jalan. Sehingga saat ini aku masih
tidak percaya kakiku sudah berpijak di bumi Lubnan. Sebuah Negara yang
bersebelahan dengan Israel pada sebelah selatan dan Syria pada sebelah utara
serta Timur, seterusnya dibatasi laut Mediterranian pada sebelah barat. Dengan keluasan wilayah sekitar 10.400 km persegi, Lubnan
mempunyai empat wilayah besa iaitu Lembah Bekaa, dataran pantai, Pegunungan
Lebanon, dan Pegunungan anti-Lebanon. Kota-kota besar di Lebanon, seperti
Beirut, Tripoli, dan Sidon terdapat di dataran pantai walaupun wilayah tidak
begitu luas. Terdapat dua agama besar di Lubnan iaitu Islam dan Kristian yang
mana agama Islam mencakupi Sunni, Syiah dan Druzi.
Seterusnya, setibanya etibanya di
lorong untuk masuk ke bangunan ACA atau lebih dikenali sebagai muassasah, jalan
yang sempit , berbukit dan penuh liku tetapi ditempuh juga oleh bas yang kami
naiki ini dan ianya sudah menjadi kebiasaan budaya orang arab disini. Pabila
sampai di muassasah, kami menuju ke bilik mesyuarat utama dan menjalankan sesi
perbincangan dua hala antara ketua ACA
iaitu Sheikh Imad Saaed yang lebih dikenali sebagai Hajj, Sis Najwa dan setiap
dari kami serta dibantu oleh Sis Maryam sebagai penterjemah kami. Isi perbincangan adalah mengenai segala
aktiviti yang akan kami jalankan sepanjang berada di sini. Setelah itu kami
menunaikan solat di surau berhampiran muassasah dan seterusnya kami dijamu
dengan roti Lebanese yang begitu besar , daging kaftah, daging lembu, kacang
kuda serta buah-buahan dan sayur sayuran. Menjadi budaya disini setiap makanan
yang ada di atas pinggan tidak boleh ditinggalkan walau sedikitpun. Setelah
menjamu selera, kami di bawa ke apartmen yang akan kami duduki selama mana kami
di sini. Kami dilayan dengan sangat baik oleh Hajj dan Sis Najwa. Segala
keperluan kami disini dipenuhinya. Kesejukan udara disini sehingga mencecah
bawah 10oC dan kami dibekalkan heater untuk memanaskan badan.
Kesejukkannya hingga kami hanya mampu menyentuh air untuk mengambil wudhu
sahaja. Ditambah lagi dengan bekalan elektrik yang sentiasa putus putus dan
kadang kadang kami bergelap untuk beberapa ketika. Waktu malam disini sangat
panjang yang mana bermula dari jam 5.00 petang sehingga jam 6.00 pagi
keesokannya.
Bahagian 3 : Alaa biasalaa ! Kita kan Traveler
| 00:33 | 0 Kura-kura
Tarikh : 29 Januari 2016
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuwait
Udara
sejuk mulai terasa setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait. Di
sini hanyalah sebagai destinasi transit sebelum bertolak ke Lapangan Terbang
Beirut. Abang Syahrir memberi kami kupon makanan sarapan. Makanan sarapan
termasuk roti berintikan keju , kek, jeruk buah dan kopi mengisi perut kami.
Sementara yang lain ada yang mencari internet wifi untuk memberitahu kepada
keluarga tentang keberadaan masing masing. Hampir dua jam menunggu untuk
penerbangan ke Beirut amat mengajar erti kesabaran . Dalam menunggu, kami
memerhati kerenah dan budaya orang-orang Kuwait. Seperti yang aku lihat, orang
orang disini agak kelihatan sukar untuk mengukir senyuman mungkin kerana budaya
mereka walaupun mereka sebenarnya baik baik sahaja. Dalam surah al-Hujurat ayat
13 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu
dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Ayat ini sangat menjelaskan
hikmah Allah menjadikan manusia daripada golongan lelaki, perempuan,
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya dapat berkenalan dan beramah mesra
antara satu sama lain.
Hampir
jam 11.00 pagi, setiap dari kami bersedia untuk melalui pemeriksaan keselamatan
imegresen di pintu 22. Semua berjaya melepasi pemeriksaan tersebut dan tidak
bagi ketua program kami Amin. Dia diuji dengan kehilangan passportnya dan
ketika itu hampir beberapa minit sahaja lagi kami akan berlepas. Kelihatan
titisan air mata pada beberapa ahli misi kami dan dia terus mencari
passportnya. Walaupun begitu, kami perlu juga teruskan apa yang sudah kami
mulakan dan semua terus menuju ke perut kapal terbang. Tetapi tidak lama
kemudian, setelah diberi nasihat oleh Prof Norita, kak Maria dan Abang Syahrir,
abang Syahrir memeriksa didalam poketnya, passport Amin dengan secara tiba tiba
berada di dalam poket nya. Semua kelihatan gembira dan menarik nafas lega
apabila ketua kami dapat pergi bersama. Amin
setelah itu masuk dan mengambil tempat duduk di dalam kapal terbang. Perjalanan
kami memakan masa selama 5 jam untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Beirut. Walaubagaimanapun, kejadian itu amat mengajar aku tentang erti
perjuangan. Perjuangan itu penuh dengan mehnah, tribulasi dan jika ada di
antara ahli pejuang tidak mampu meneruskan apa yang diperjuangkan, maka ahli
yang lain perlu berjuang sehingga matlamat yang ingin dituju itu tercapai. Ukhuwwah
itu penting tetapi dakwah dan misi Islam adalah lebih penting berbanding
ukhuwwah. Kerana itulah ukhuwwah berada pada tahap yang ke sembilan didalam
rukun baiah diatasi oleh kefahaman,keihlasan dan amal.
Bahagian 2 : Lubnan Kami Datang
| 00:14 | 0 Kura-kura
Masa : 10.00 malam
Tempat : Pavilion USIM
Kedengaran
enjin bas menuju ke perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah Pavilion USIM di
tempat yang kami akan berkumpul sebelum menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA 2). Masing-masing membawa bagasi, kotak dan beg yang berisi
keperluan dan barangan sumbangan yang akan di beri kepada pelarian Syria di
Lubnan nanti. Segala bagasi dan kotak dimasukkan ke perut bas sebelum bas
bergerak ke KLIA 2. Tidak lama selepas itu, setelah semuanya tiba, bas yang
kami naiki menuju ke KLIA 2 dan perjalanan memakan masa selama 15 minit. Di
dalam jiwaku, terbit perasaan dan harapan yang besar bahawa setiap dari kami
ini membawa misi yang besar dan perlu untuk tajdid niat.
Dalam jam 10.30 malam, kaki
melangkah turun dari bas. Setiap dari kami mempercepatkan langkah mengambil
troli dan membawa kesemua barangan kami ke pintu pelepasan. Sementara itu, kami
menunggu Prof. Dr Norita , Abang Syahrir Azfar, Kak Maria Kamel dan Kak Fiza
selaku pengiring kami dan juga beberapa ahli kami yang lain yang turut akan
menyempurnakan Misi Kemanusiaan kami di Lubnan nanti. Detik demi detik berlalu
dan kelihatan tiba kehadiran setiap ahli dari kami dan jua sahabat handai yang
datang sebelum kami bertolak ke sana. Sesi fotografi dijalankan dan setiap dari
kami memegang bendera USIM, banner, dan
bendera Malaysia. Hampir jam 11.30 malam, abang Syahrir membawa kami ke kaunter
check-in bagasi untuk mendaftar masuk
segala bagasi dan kotak barangan sumbangan. Proses memakan masa hampir satu jam
sehinggalah semua bagasi didaftar masuk ke kargo atas nama mengikut passport
masing masing.
Tepat
jam 12.25 pagi bertarikh 29 Januari 2016, kami mendengar sedikit perkongsian
dan nasihat daripada seseorang sahabat yang berpengalaman ke kem pelarian Syria
di Jordan. Perkongsian tersebut sedikit sebanyak memberi kami semangat untuk
teruskan misi dan ini adalah peluang yang besar untuk kami berkhidmat dan
memberi sumbangan kepada golongan yang sangat memerlukan sokongan dan motivasi
untuk meneruskan kehidupan di bumi ini.
Perut
mula memainkan lagu keroncong dan kami masing masing diberi masa sebelum jam
1.10 pagi untuk mengisi perut dengan
makanan. Aku terus menuju ke KFC dan mengisi perutku yang lapar. Lebih kurang
jam 1.15 pagi, kami semua berkumpul di pintu pagar pelepasan bagi penerbangan
antarabangsa . Setelah semuanya tiba , kami semua menuju masuk membawa passport
dan beg masing masing dan segala proses
kemasukan dan pemeriksaan keselamatan imegresen dijalankan. Alhamdulillah
segalanya berjalan dengan lancar. Setelah itu, kami menuju ke platform tren dan
menunggu tren untuk pergi ke gate C05. Setelah beberapa minit menunggu, tren
tiba dan kami tiba di gate C05. Penerbangan kami berangka KU 416 menuju ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dan masa penerbangan adalah pada 0325
waktu Malaysia. Setelah itu, bila pengumuman penerbangan ke Kuwait dibuat, kami
terus naik atas kapal terbang Kuwait Airways dibantu oleh kru anak kapal. Kami
duduk di tempat duduk masing masing setelah beg dimasukkan ke kabin. Penerbangan ke Kuwait memakan masa selama lebih
kurang 8 jam. Satu pengalaman baru sepanjang penerbangan termasuk solat di atas
kapal terbang setelah masuknya waktu subuh. Sesungguhnya, pengalaman musafir
kali ini mengajar aku erti kehambaan kepadaNya dan sentiasa mengingatiNya walau
dimana kita berada.
Bahagian 1 : Aku Khalifah
Tuesday 15 March 2016 | 23:38 | 0 Kura-kura
Tahun 2014, aku pelajar tahun dua di
USIM sebagai pelajar fizik gunaan. Setiap hari ke kuliah seperti biasa. Tapi
tiba satu masa, bermula satu amanah yang harus dipikul pabila mendapat tugasan
untuk menjalankan satu projek dibawah nama Global Islamic Student Outreach,
satu program khidmat masyarakat pelajar USIM di luar negara untuk menabur bakti
dan menjalinkan hubungan dua hala antara negara. Mendapat 15 orang rakan di
dalam satu kumpulan untuk menjalankan misi kemanusiaan kem perlarian Syria di
Lubnan dengan kerjasama Malaysia Life Line for Syria, teruja untuk mengetahui
dengan lebih mendalam tentang misi ini. Untuk
memulakan misi ini, banyak cabaran yang dilalui, dengan kesukaran untuk membuat
pendokumentasian, kekurangan idea dari setiap ahli dan ahli yang keluar masuk
dan hanya berhenti sekerat jalan sahaja. Sehinggalah masuk tahun 4 dan ahli kami
hanya tinggal 11 orang sahaja dan tidak termasuk 3 orang pengiring. Alhamdulillah, Allah memilih kami untuk
menjayakan misi yang besar ini.
Bersama sahabat ini
kami berjuang untuk menjayakan misi. Sesungguhnya, perjuangan islam sememangnya
akan ada cabaran dalam kalangan ahli kerana Allah akan memilih orang orang yang
benar benar faham dan ikhlas untuk menyebarkan syiar Islam itu sendiri. Itulah
rencah perjuangan Islam, tiadalah yang manis disepanjang perjalanan yang
dilalui. Dalam surah Hajj, Ayat yang ke 11 yang berbunyi:
“Dan di antara
manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi, maka jika dia memperoleh
kebaikan, dia merasa puas, dan jika dia ditimpa suatu cubaan dia berbalik ke
belakang. Dia rugi di dunia dan di akhirat dan itulah kerugian yang nyata”
Ayat ini sangat
memberi inspirasi bagi pejuang agar tidak mudah berputus atau futur ditengah
jalan dalam menjalankan amanah dan misi islam.
Aku memegang portfolio sebagai unit multimedia
dalam organisasi ini. Membuat banner dan poster untuk program itu semua kerja
aku. Aku membantu semampu yang boleh dalam menjalankan amanah yang ditaklifkan
kepadaku . Untuk menjayakan misi, kekangan kami adalah dana dan kewangan.
Bermacam macam cara yang kami lakukan untuk memastikan kami akan dapat sampai
ke Lubnan. Wang yang kami dapat daripada USIM tidak mencukupi untuk menampung
kos misi kami. Bukan sahaja program
ceramah, jualan t shirt serta button
badge, malahan flashmob di Jalan TAR pernah kami lakukan untuk mencari dana
bagi menampung program GISO ini. Muka dah seinci tebal dengan teriakan
“Donation for Syria!” , pernah dicerca namun ku kuatkan semangat ini bagi
melaksanakan kebaikan untuk ummah sekaligus saudara seislam kita di sana. Kalau
di USIM, talk dan ceramah kami anjurkan dengan memanggil speaker yang hebat
tentang isu Syria. Jadi, berbekalkan pengalaman yang sedikit dalam menjalankan
program dan majlis aku berkongsi sebanyak agar perjalanan program berjalan
lancar. Kempen 1RM4Syria juga dijalankan dengan kerjasam dengan Majlis
Perwakilan Pelajar USIM, SKM dan bersama badan pelajar yang lain dalam mencari
dana dan sumbangan untuk Syria. Tabung diletakkan di setiap kedai dan hotspot ,
ditambah dengan mencari dana di masjid dan lain lain lagi. Selain daripada masalah kewangan, kami juga
menghadapi masalah dalam mencari tarikh yang tepat untuk ke sana. Dua tiga kali
tarikh terpaksa ditukar dan ditangguhkan.Pada asalnya, kami sepatutnya ke sana
September 2015 dan membawa misi kemanusiaan pada hari Aidil Adha tetapi
perancangan Allah itu hebat, Allah memilih untuk kami sampai ke sana pada 29
Januari 2016 sehingga 4 Februari 2016.
Kini aku pelajar tahun
4, sebelumnya sibuk dengan projek tahun akhir dan program kini makin berkurangan. Dapatlah aku
dapat menumpukan kepada kerja kerja GISO ini. Saat saat akhir untuk ke sana,
begitu banyaklah perkara yang harus diselesaikan. Dengan kewangan yang belum
mencukupi, cenderamata, dan bermcam macam lagi. Sehari sebelum bertolak ke
sana, aku ke pejabat Malaysia Life Line
For Syria, membantu kerja kerja akhir untuk mencari dana. Di sini aku berjumpa
dengan Kak Fiza, Kak Maria dan sahabat MLLFS yang lain untuk pertama kalinya.
Nampak tegas dan aku takut juga pada mulanya tapi aku kawal untuk nampak lebih
professional. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan dalam misi mencari dana.
Dengan memakai vest dan memegang tabung tabung Syria kumpulan aku pergi ke KL
Sentral untuk mencari sumbangan. Sesungguhnya, bukan senang untuk buat
pekerjaan ini , hanya yang cekal dan bermuka tebal sahaja mampu melakukannya. Dalam
surah at Taubah ayat ke 41, yang berbunyi :
“Pergilah kamu beramai-ramai, samada dengan keadaan
ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa
kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui.”
(Al-Taubah [9] : 41)
Hari ini sudah 28 Februari 2016. Aku masih membuat
persiapan akhir ke Lubnan, mengemas barang barang dan dimasukkan kedalam bagasi
, membuat solat hajat serta berdoa agar perjalanan kami ke sana berjalan dengan
lancar.
|