Bahagian 2 : Lubnan Kami Datang
Wednesday 16 March 2016 | 00:14 | 0 Kura-kura
Masa : 10.00 malam
Tempat : Pavilion USIM
Kedengaran
enjin bas menuju ke perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah Pavilion USIM di
tempat yang kami akan berkumpul sebelum menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA 2). Masing-masing membawa bagasi, kotak dan beg yang berisi
keperluan dan barangan sumbangan yang akan di beri kepada pelarian Syria di
Lubnan nanti. Segala bagasi dan kotak dimasukkan ke perut bas sebelum bas
bergerak ke KLIA 2. Tidak lama selepas itu, setelah semuanya tiba, bas yang
kami naiki menuju ke KLIA 2 dan perjalanan memakan masa selama 15 minit. Di
dalam jiwaku, terbit perasaan dan harapan yang besar bahawa setiap dari kami
ini membawa misi yang besar dan perlu untuk tajdid niat.
Dalam jam 10.30 malam, kaki
melangkah turun dari bas. Setiap dari kami mempercepatkan langkah mengambil
troli dan membawa kesemua barangan kami ke pintu pelepasan. Sementara itu, kami
menunggu Prof. Dr Norita , Abang Syahrir Azfar, Kak Maria Kamel dan Kak Fiza
selaku pengiring kami dan juga beberapa ahli kami yang lain yang turut akan
menyempurnakan Misi Kemanusiaan kami di Lubnan nanti. Detik demi detik berlalu
dan kelihatan tiba kehadiran setiap ahli dari kami dan jua sahabat handai yang
datang sebelum kami bertolak ke sana. Sesi fotografi dijalankan dan setiap dari
kami memegang bendera USIM, banner, dan
bendera Malaysia. Hampir jam 11.30 malam, abang Syahrir membawa kami ke kaunter
check-in bagasi untuk mendaftar masuk
segala bagasi dan kotak barangan sumbangan. Proses memakan masa hampir satu jam
sehinggalah semua bagasi didaftar masuk ke kargo atas nama mengikut passport
masing masing.
Tepat
jam 12.25 pagi bertarikh 29 Januari 2016, kami mendengar sedikit perkongsian
dan nasihat daripada seseorang sahabat yang berpengalaman ke kem pelarian Syria
di Jordan. Perkongsian tersebut sedikit sebanyak memberi kami semangat untuk
teruskan misi dan ini adalah peluang yang besar untuk kami berkhidmat dan
memberi sumbangan kepada golongan yang sangat memerlukan sokongan dan motivasi
untuk meneruskan kehidupan di bumi ini.
Perut
mula memainkan lagu keroncong dan kami masing masing diberi masa sebelum jam
1.10 pagi untuk mengisi perut dengan
makanan. Aku terus menuju ke KFC dan mengisi perutku yang lapar. Lebih kurang
jam 1.15 pagi, kami semua berkumpul di pintu pagar pelepasan bagi penerbangan
antarabangsa . Setelah semuanya tiba , kami semua menuju masuk membawa passport
dan beg masing masing dan segala proses
kemasukan dan pemeriksaan keselamatan imegresen dijalankan. Alhamdulillah
segalanya berjalan dengan lancar. Setelah itu, kami menuju ke platform tren dan
menunggu tren untuk pergi ke gate C05. Setelah beberapa minit menunggu, tren
tiba dan kami tiba di gate C05. Penerbangan kami berangka KU 416 menuju ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dan masa penerbangan adalah pada 0325
waktu Malaysia. Setelah itu, bila pengumuman penerbangan ke Kuwait dibuat, kami
terus naik atas kapal terbang Kuwait Airways dibantu oleh kru anak kapal. Kami
duduk di tempat duduk masing masing setelah beg dimasukkan ke kabin. Penerbangan ke Kuwait memakan masa selama lebih
kurang 8 jam. Satu pengalaman baru sepanjang penerbangan termasuk solat di atas
kapal terbang setelah masuknya waktu subuh. Sesungguhnya, pengalaman musafir
kali ini mengajar aku erti kehambaan kepadaNya dan sentiasa mengingatiNya walau
dimana kita berada.
|