Bahagian 6 : Empati peritnya pejuang Islam

Tarikh : 31 Januari 2016
Masa :  7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim El-Khouroub El-Chouf, Kem Al Abrar

Waktu jam 5 pagi , kami semua bangun dan bila masuknya waktu subuh kami menunaikan solat subuh berjemaah. Selesai zikir dan al mathurat, kami sarapan dan membuat sedikit perkongsian pengalaman setelah seharian berprogram di kem pelarian Syria kelmarin. Pagi itu suasana agak kelam kabut disebabkan kami yang perempuan terkunci dari luar rumah. Mujur Hajj datang membantu. Setelah itu, kami dimaklumkan yang kami akan ke kem pelarian Syria yang bersuhu -12oC. Oleh itu, setiap dari kami memakai  hampir 3-4 helai baju untuk menghangatkan badan. Perjalanan kami pagi ini sangat panjang hingga memakan masa hampir 3 jam untuk sampai ke Biqaa’. Kelihatan pemandangan bukit bukau, gunung ganang yang dipenuhi salju sepanjang perjalanan amat memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Sebelum tiba di Kem Al-Abrar di Biqaa, bas yang kami naiki itu berhenti di sebuah tempat yang bersalji dan sangat cantik. Keterujaan menguasai diri kami kerana itu merupakan pengalaman dan saat yang pertama kami melihat salji di hadapan mata. Kami bermain ais walaupun terasa kesejukannya.
Setelah puas bermain, kami teruskan perjalanan ke destinasi utama kami ialah ke mukhayyam di Biqaa’. Turun sahaja dari bas dapat sahaja ku lihat betapa menyedihkan sekali keadaan pelarian Syria di sana. Ku lihat ada sekumpulan anak anak Syria berkumpul dan menyanyikan lagu yang bertajuk Al Mawtini yang bermaksud Tanah Airku. Sayu sekali perasaanku bila melihat mereka menyanyikan tentang lagu tanah air mereka iaitu Syria. Setelah itu, kami memberikan gula gula kepada kanak kanak disitu dan mendukung anak anak kecil yang sangat comel. Di kem Al Abrar ini terdapat seorang sheikh yang sangat disegani yang bernama Sheikh Yahyah Abrar dan beliau merupakan peneraju di mukhayyam tersebut. Kem ini memuatkan seramai 40,000 pelarian Syria dan apa yang sangat mengagumkan kami di kem ini terdapat  janakuasa yang dibina sendiri dan di setiap khemah di mukhayyam itu terdapat satu tandas . Keadaan di kem ini agak lebih baik berbanding keadaan dikem yang kami lawati pada hari semalam. Selain itu, enduduk Lubnan sendiri yang mewakafkan untuk pelarian Syria disini. Di kem ini juga kami dapat lihat keadaan seorang remaja yang kehilangan kaki sebelah kerana terkena bom di Syria. Tidak lama kemudian, lori yang membawa barangan sumbangan tiba.  Barangan sumbangan yang diberikan kepada pelarian Syria kali ini berbentuk pek makanan dan baju sejuk. Usai pemberian sumbangan sebanyak 42 keluarga di kem tersebut, kami dibawa ke kem seterusnya iaitu kem Hamed al-Louz. Kem yang kami tujui ini menempatkan keluarga pelarian Syria yang hanya tinggal di dalam rumah kabin sahaja. Setibanya di sana, mereka menyambut kehadiran kami dan kami rasa sangat  dihargai.  Di sini aku ingin menunaikan kewajipan aku sebagai hambaNya dan aku mencari cari surau untuk menunaikan solat. Kami di ajak oleh seorang kanak kanak perempuan bernama Samihah untuk solat di rumah kabinnya yang usang dan kecil itu. Pengalaman merasai berada di dalam kabin sangat berharga buat aku. Setelah itu, kami memberi gula gula kepada kanak kanak Syria di situ dan ada yang mengerumuniku untuk mendapatkan gula gula mereka.  Perasaan sangat gembira terbit di jiwa ini bila melihat wajah wajah yang dahulunya sedih dan kini menjadi riang. Apabila ditanya kepada mereka, kebanyakan suami dan bapa kepada isteri dan anak kecil ini menghidapi penyakit ataupun dipenjara di Syria.  Begitu besar dugaan dan ujian yang mereka tempuh dalam meneruskan hidup di hari hari yang mendatang.
Setelah itu, kami terus menuju ke markaz pelarian Syria di Benjenin. Tempat ini tidak seperti kem kem yang sebelumnya namun lebih kepada rumah kedai dan menempatkan sebilangan pelarian Syria disini. Tidak lama selepas itu, kami terus memberi sumbangan kepada pelarian Syria.
Pada sebelah petang, kami dibawa berjalan jalan mencuci mata melihat pemandangan bukit bukau. Penat pada hari itu telah kembali segar bila aku melihat gunung gunung yang hijau. Selain itu, dapat aku lihat disepanjang jalan ada papan tanda memorial sepertinya gambar itu seperti gambar seorang tentera. Sis Maryam menjelaskan bahawa gambar tersebut merupakan tentera yang membantu rejim dan mati dibunuh di Syria. Perjalanan memakan masa hampir satu jam hingga kami tiba di satu checkpoint.  Dari checkpoint tersebut hanya 20 km untuk ke sempadan Lubnan-Israel. Perasaan sudah terasa seperti ada yang tidak kena sedang berlaku. Aku melihat 3 orang tentera Lubnan berpakaian celoreng hijau memegang senapang dengan wajah yang bengis. Perasaan cuak dikawal dan cuba untuk berlagak seperti tiada apa yang sedang berlaku. Namun, dalam pada itu, segala barang barang yang berlogo Syria cuba untuk disorok. Semua passport kami di ambil untuk diperiksa barangkali. Semua menanti dengan penuh debaran. Satu demi satu passport diselak dan diperiksa. Haj ku perhatikan sedang berbincang dengan salah seorang tentera dari situ, tidak tahu apa yang sedang dibincangkan tetapi dalam pada itu dia memegang telefon sepertinya sedang berbual dengan seseorang. Sejam setelah ditahan, passport kami di serah dan semua menarik nafas lega. Selepas kejadian itu, kami dimaklumkan bahawa hanya orang Lubnan sahaja yang dibenarkan untuk melepasi checkpoint tersebut. Memang sudah diagak dari awal.Mujur sahaja tiada apa yang buruk berlaku kepada kami. Alhamdulillah semua mengucap lafaz syukur. Waktu sudah mulai hampir malam kami diarahkan untuk u-turn dan terus menuju pulang ke Ketermaya. Dalam perjalanan pulang, Haj Imaad membawa kami ke rumah sahabatnya. Kami menziarahi dan beramah mesra dengan keluarga orang arab di sana. Beliau sangat ramah dan menjamu kami dengan kurma basah dan kopi arab yang kami tidak pernah ketemui di Malaysia.
Hari ini penuh dengan pengalaman baru dan penuh dengan pelbagai perasaan. Ada sedih, simpati, gembira, cemas, dan takut. Begitulah rencah seorang pejuang, mereka tidak dihamparkan dengan permaidani merah tetapi liku onak duri itu menghiasi perjalanan perjuangan mereka.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? [Al ankabut : ayat 2]


Ayat 2 dari surah al ankabut jelas mengatakan tentang perjuangan. Tiadalah namanya perjuangan jika tidak diuji. Apa yang ditempuhi hari ini hanya sekelumit daripada apa yang pejuang pejuang islam rasai dalam memenangkan Islam di mata dunia. Dari apa yang berlaku adalah titik permulaan aku untuk terus berjuang dan membuat kebaikan kepada ummah tidak kisah dari apa jua sudut. 

No comments: