Bahagian 9 : Sayu Kota Lubnan

Tarikh : 3 Februari 2016
Masa :  7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim El-Khouroub El-Chouf, Ikhlas, Lapangan Terbang Beirut

Pagi ini sayu sesayu hatiku. Kami bakal meninggalkan Ketermaya hari ini. Selesai solat, Al-Mathurat dan sarapan,  kami mengemas bilik apartmen yang kami duduki. Setelah itu, semua bagasi dibawa keluar dan Nadine sudah berada disitu. Kami berjalan ke ACA dan naik bas untuk menuju ke Ikhlas iaitu kedai menjual manisan. Begitu banyak manisan yang dijual disana sehingga rambang mata aku dibuat. Sekotak manisan yang terisi pelbagai manisan dibeli dengan harga 10 USD. Lama juga kami di Ikhlas, masing masing ingin membeli sebagai buah tangan untuk diberi kepada rakan di Malaysia. Setelah itu, kami pulang ke Muassasah dan berjumpa dengan semua staf staf disana dan bersalam untuk kali terakhir, suasana membuatku sedikit sebak. Kemudian, kami semua ke hadapan Muassasah untuk sesi fotografi bersama sama. Hampir jam 10 pagi, kami semua naik bas dan tangan melambai kepada semua yang ada disitu.
            Tiba di lapangan terbang, kami terus meluru ke kaunter check in bagasi dan terus berjalan ke balai pelepasan.Agak lama menunggu hinggalah satu jam selepas itu, kami terus masuk ke perut kapal terbang Kuwait Airways. Perjalanan ke Malaysia memakan masa 15 jam termasuk transit di Kuwait. Tiba di Malaysia dan jarum jam menunjukkan hampir 1.30 pm. Kaki berpijak turun dari kapal terbang dengan jiwa dan nafas yang baru. Jiwa seorang khalifah Allah yang ingin menebarkan kebaikan di alam ini. Begitu juga kehidupan seorang pendakwah yang mana selain beribadah kepada Allah, pendakwah mempunyai tanggungjawab dalam menyelamatkan manusia di muka bumi Allah ini dan menjadi rahmatan lil ‘alamin. Pengalaman di Lubnan banyak mengajar aku erti kehambaan dan kasih sayang sesama saudara Islam. Kesyukuran terpancar tatkala merenung wajah wajah saudara seislam di sana. Manakan tidak, bibir yang sering merungut ini sering alpa dan terlupa bahawa terdapat insan yang lebih susah dan menghadapi keperitan jauh lebih banyak dari kita. Mereka yakin tanpa persoalan. Yakin dengan apa yang ditetapkan olehNya dan syahid di tanah air adalah sememangnya satu matlamat mereka.  Harapan aku, semoga usaha yang dilakukan ini dipandang oleh yang maha Esa.Amin.

Ya Rabbul Izzati
Keindahan embun pagi dan terbitnya mentari tiadalah dinikmati
Di fikiran mencari ceruk lorong  melindungi diri
Ibu ayah dibunuh , Bashar Al Asad menzalimi
Letupan bom, tembakan peluru menjadi santapan telinga setiap hari

Wahai anak Syria perindu Syahid
                                             Bulan bintang menghiasi malam hari         
Bertebaran ke sana sini mencari perlindungan diri
Kecantikan malam tidak bisa menghilangkan ketakutan di dalam diri
Namun, tenanglah wahai hati kerana surga menanti
Dan Allah pasti sentiasa disisi


No comments: