|
Bahagian 6 : Empati peritnya pejuang Islam
Wednesday, 16 March 2016 | 00:45 | 0 Kura-kura
Tarikh : 31 Januari 2016
Masa :
7.00 pagi
Tempat : Apartmen Ketermaya Iklim
El-Khouroub El-Chouf, Kem Al Abrar
Waktu jam 5 pagi , kami semua bangun dan
bila masuknya waktu subuh kami menunaikan solat subuh berjemaah. Selesai zikir
dan al mathurat, kami sarapan dan membuat sedikit perkongsian pengalaman
setelah seharian berprogram di kem pelarian Syria kelmarin. Pagi itu suasana
agak kelam kabut disebabkan kami yang perempuan terkunci dari luar rumah. Mujur
Hajj datang membantu. Setelah itu, kami dimaklumkan yang kami akan ke kem
pelarian Syria yang bersuhu -12oC. Oleh itu, setiap dari kami
memakai hampir 3-4 helai baju untuk
menghangatkan badan. Perjalanan kami pagi ini sangat panjang hingga memakan
masa hampir 3 jam untuk sampai ke Biqaa’. Kelihatan pemandangan bukit bukau,
gunung ganang yang dipenuhi salju sepanjang perjalanan amat memukau sesiapa
sahaja yang melihatnya. Sebelum tiba di Kem Al-Abrar di Biqaa, bas yang kami
naiki itu berhenti di sebuah tempat yang bersalji dan sangat cantik. Keterujaan
menguasai diri kami kerana itu merupakan pengalaman dan saat yang pertama kami
melihat salji di hadapan mata. Kami bermain ais walaupun terasa kesejukannya.
Setelah puas bermain,
kami teruskan perjalanan ke destinasi utama kami ialah ke mukhayyam di Biqaa’.
Turun sahaja dari bas dapat sahaja ku lihat betapa menyedihkan sekali keadaan
pelarian Syria di sana. Ku lihat ada sekumpulan anak anak Syria berkumpul dan
menyanyikan lagu yang bertajuk Al Mawtini yang bermaksud Tanah Airku. Sayu
sekali perasaanku bila melihat mereka menyanyikan tentang lagu tanah air mereka
iaitu Syria. Setelah itu, kami memberikan gula gula kepada kanak kanak disitu
dan mendukung anak anak kecil yang sangat comel. Di kem Al Abrar ini terdapat
seorang sheikh yang sangat disegani yang bernama Sheikh Yahyah Abrar dan beliau
merupakan peneraju di mukhayyam tersebut. Kem ini memuatkan seramai 40,000
pelarian Syria dan apa yang sangat mengagumkan kami di kem ini terdapat janakuasa yang dibina sendiri dan di setiap
khemah di mukhayyam itu terdapat satu tandas . Keadaan di kem ini agak lebih
baik berbanding keadaan dikem yang kami lawati pada hari semalam. Selain itu,
enduduk Lubnan sendiri yang mewakafkan untuk pelarian Syria disini. Di kem ini
juga kami dapat lihat keadaan seorang remaja yang kehilangan kaki sebelah
kerana terkena bom di Syria. Tidak lama kemudian, lori yang membawa barangan
sumbangan tiba. Barangan sumbangan yang
diberikan kepada pelarian Syria kali ini berbentuk pek makanan dan baju sejuk. Usai
pemberian sumbangan sebanyak 42 keluarga di kem tersebut, kami dibawa ke kem
seterusnya iaitu kem Hamed al-Louz. Kem yang kami tujui ini menempatkan
keluarga pelarian Syria yang hanya tinggal di dalam rumah kabin sahaja. Setibanya
di sana, mereka menyambut kehadiran kami dan kami rasa sangat dihargai.
Di sini aku ingin menunaikan kewajipan aku sebagai hambaNya dan aku
mencari cari surau untuk menunaikan solat. Kami di ajak oleh seorang kanak
kanak perempuan bernama Samihah untuk solat di rumah kabinnya yang usang dan
kecil itu. Pengalaman merasai berada di dalam kabin sangat berharga buat aku.
Setelah itu, kami memberi gula gula kepada kanak kanak Syria di situ dan ada
yang mengerumuniku untuk mendapatkan gula gula mereka. Perasaan sangat gembira terbit di jiwa ini
bila melihat wajah wajah yang dahulunya sedih dan kini menjadi riang. Apabila
ditanya kepada mereka, kebanyakan suami dan bapa kepada isteri dan anak kecil
ini menghidapi penyakit ataupun dipenjara di Syria. Begitu besar dugaan dan ujian yang mereka
tempuh dalam meneruskan hidup di hari hari yang mendatang.
Setelah itu, kami terus
menuju ke markaz pelarian Syria di Benjenin. Tempat ini tidak seperti kem kem
yang sebelumnya namun lebih kepada rumah kedai dan menempatkan sebilangan
pelarian Syria disini. Tidak lama selepas itu, kami terus memberi sumbangan kepada
pelarian Syria.
Pada sebelah petang,
kami dibawa berjalan jalan mencuci mata melihat pemandangan bukit bukau. Penat
pada hari itu telah kembali segar bila aku melihat gunung gunung yang hijau. Selain
itu, dapat aku lihat disepanjang jalan ada papan tanda memorial sepertinya
gambar itu seperti gambar seorang tentera. Sis Maryam menjelaskan bahawa gambar
tersebut merupakan tentera yang membantu rejim dan mati dibunuh di Syria. Perjalanan
memakan masa hampir satu jam hingga kami tiba di satu checkpoint. Dari checkpoint tersebut hanya 20 km untuk ke
sempadan Lubnan-Israel. Perasaan sudah terasa seperti ada yang tidak kena
sedang berlaku. Aku melihat 3 orang tentera Lubnan berpakaian celoreng hijau
memegang senapang dengan wajah yang bengis. Perasaan cuak dikawal dan cuba
untuk berlagak seperti tiada apa yang sedang berlaku. Namun, dalam pada itu,
segala barang barang yang berlogo Syria cuba untuk disorok. Semua passport kami
di ambil untuk diperiksa barangkali. Semua menanti dengan penuh debaran. Satu
demi satu passport diselak dan diperiksa. Haj ku perhatikan sedang berbincang
dengan salah seorang tentera dari situ, tidak tahu apa yang sedang dibincangkan
tetapi dalam pada itu dia memegang telefon sepertinya sedang berbual dengan
seseorang. Sejam setelah ditahan, passport kami di serah dan semua menarik
nafas lega. Selepas kejadian itu, kami dimaklumkan bahawa hanya orang Lubnan
sahaja yang dibenarkan untuk melepasi checkpoint tersebut. Memang sudah diagak
dari awal.Mujur sahaja tiada apa yang buruk berlaku kepada kami. Alhamdulillah
semua mengucap lafaz syukur. Waktu sudah mulai hampir malam kami diarahkan
untuk u-turn dan terus menuju pulang
ke Ketermaya. Dalam perjalanan pulang, Haj Imaad membawa kami ke rumah
sahabatnya. Kami menziarahi dan beramah mesra dengan keluarga orang arab di
sana. Beliau sangat ramah dan menjamu kami dengan kurma basah dan kopi arab
yang kami tidak pernah ketemui di Malaysia.
Hari ini penuh dengan
pengalaman baru dan penuh dengan pelbagai perasaan. Ada sedih, simpati,
gembira, cemas, dan takut. Begitulah rencah seorang pejuang, mereka tidak
dihamparkan dengan permaidani merah tetapi liku onak duri itu menghiasi
perjalanan perjuangan mereka.
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja)
mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? [Al
ankabut : ayat 2]
Ayat 2 dari surah al
ankabut jelas mengatakan tentang perjuangan. Tiadalah namanya perjuangan jika
tidak diuji. Apa yang ditempuhi hari ini hanya sekelumit daripada apa yang
pejuang pejuang islam rasai dalam memenangkan Islam di mata dunia. Dari apa
yang berlaku adalah titik permulaan aku untuk terus berjuang dan membuat
kebaikan kepada ummah tidak kisah dari apa jua sudut.
|